Surah 37 Ayat 133:
وَإِنَّ لُوطًا لَّمِنَ الْمُرْسَلِينَ Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
Surah 37 Ayat 134:
إِذْ نَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ أَجْمَعِينَ (ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,
Surah 37 Ayat 135:
إِلَّا عَجُوزًا فِي الْغَابِرِينَ Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang dibinasakan.
Surah 37 Ayat 136:
ثُمَّ دَمَّرْنَا الْآخَرِينَ Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut Nabi Lut).
Surah 37 Ayat 137:
وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِم مُّصْبِحِينَ Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad): berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka, semasa kamu berada pada waktu pagi.
Surah 37 Ayat 138:
وَبِاللَّيْلِ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ Dan juga pada waktu malam; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?.
Surah 37 Ayat 139:
وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.
Surah 37 Ayat 140:
إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat.
Surah 37 Ayat 141:
فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut).
Surah 37 Ayat 142:
فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.
Surah 37 Ayat 143:
فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),
Surah 37 Ayat 144:
لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.
Surah 37 Ayat 145:
۞ فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ سَقِيمٌ Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan sakit.
Surah 37 Ayat 146:
وَأَنبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِّن يَقْطِينٍ Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.
Surah 37 Ayat 147:
وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَىٰ مِائَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.
Surah 37 Ayat 148:
فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).
Surah 37 Ayat 149:
فَاسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ الْبَنَاتُ وَلَهُمُ الْبَنُونَ (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
Surah 37 Ayat 150:
أَمْ خَلَقْنَا الْمَلَائِكَةَ إِنَاثًا وَهُمْ شَاهِدُونَ Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu - perempuan?
Surah 37 Ayat 151:
أَلَا إِنَّهُم مِّنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata:
Surah 37 Ayat 152:
وَلَدَ اللَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ "Allah beranak"; sedang mereka, sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta!